'Tiada maklum balas Kementerian Ekonomi, MB Kedah terpaksa jumpa PM'

ALOR SETAR – Exco Industri dan Pelaburan negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah mendakwa Kementerian Ekonomi tidak memberi maklum balas permohonan kelulusan Notis Perubahan (NoC) projek Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5 sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, secara khususnya hampir setiap bulan pegawai tertinggi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) bermesyuarat dengan pegawai tertinggi Kementerian Ekonomi.
"Malangnya bila sampai agenda NoC ini ianya tidak dibincangkan.
"Jika dibincangkan dan diberikan apa lagi info atau dokumen diperlukan oleh Kementerian Ekonomi, pasti pihak Kerajaan Negeri bersedia melakukannya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, telah mengambil langkah proaktif dengan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan isu NOC tersebut.
Menurutnya, dalam pertemuan ringkas tersebut, Anwar mengarahkan Kementerian Ekonomi untuk menerima pembatalan NoC asal yang tidak dijawab serta memudahcara permohonan baharu.
“Dalam pertemuan tidak sampai 30 minit, YAB PM telah memberi jaminan dan mengarahkan Kementerian Ekonomi menerima pembatalan NoC yang tidak dijawab itu dan mengarahkan memudahcara untuk NoC baharu yang dipohon oleh Kerajaan Negeri menerusi PKNK & KTPC untuk membeli tanah asal yang kini telah selesai isu semakan harga di mahkamah," ujarnya.
Haim Hilman berkata, Isu tersebut hanya mendapat perhatian Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, selepas ia menjadi polemik di media.
"Apabila isu ini menjadi polemik di antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Ekonomi, barulah Menteri Ekonomi membuat kenyataan di media sosial dan di Dewan Rakyat.
"Pada masa itu telah terlalu banyak masa terbuang dan masih tidak menyelesaikan masalah," katanya lagi.
Tambah beliau, tidak timbul isu mengenai penambahan hutang sebanyak RM180 Juta yang dipohon oleh Kerajaan Negeri Kedah bagi membangunkan Kulim Hi Tech Park Fasa 5.
Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai kekuatan kewangan yang mencukupi untuk menampung kos tersebut.
"Pengurusan kewangan yang bijaksana menjadi kunci kejayaan dalam memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Kedah," ujarnya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah dituntut tampil memohon maaf kepada rakyat negeri itu selepas didakwa membuat tuduhan tidak berasas berhubung kelulusan projek KHTP Fasa 5.
Rafizi berkata, tuduhan itu dibuat Haim Hilman dengan mendakwa kononnya beliau sengaja melengah-lengahkan permohonan kelulusan NoC dan dikatakan cuba mensabotaj projek kerajaan negeri berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

