Perikatan Nasional tubuh sekretariat gabungan

Annuar bersalam dengan Sin Woon yang berkunjung ke Ibu Pejabat UMNO hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Annuar bersalam dengan Sin Woon yang berkunjung ke Ibu Pejabat UMNO hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan baharu Perikatan Nasional akan menubuhkan sekretariat membabitkan semua setiausaha agung parti dalam pakatan bagi merangka pelan hala tuju gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua setiausaha agung parti gabungan Perikatan Nasional sudah menerima arahan daripada kepimpinan parti masing-masing bagi merealisasikan perkara itu.

Menurutnya, sekretariat terbabit akan bermesyuarat seminggu sekali bagi membincangkan perkara yang berkaitan gabungan selain bagi membantu untuk memperkukuhkan jentera kerajaan.

“Saya sendiri sudah mendapat arahan tertentu daripada pimpinan parti supaya menyegerakan urusan (menubuhkan sekretariat) itu bagi menyediakan ”roadmap’ Perikatan Nasional dan sebagainya.

“Sebelum ini pun sudah ada pertemuan secara tidak rasmi dalam kalangan setiausaha agung.Perikatan Nasional lahir pun tanpa dirancang dan tidak dijangka, tiada logo, tiada struktur,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama rombongan MCA diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Ditanya adakah sekretariat itu turut membabitkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Annuar berkata, beliau difahamkan parti itu memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan masalah dalaman dihadapi mereka.

“Saya difahamkan, ada timbul sikit persoalan mengenai siapa setiausaha agung mereka. Itu masalah dalaman mereka dan kami berharap Bersatu akan selesaikan masalah itu secepat mungkin kerana (peranan) setiausaha agung itu sangat penting,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikan jemaah menteri dalam kerajaan baharu, Annuar menegaskan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diberi kebebasan sepenuhnya untuk membuat pilihan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berpendapat Perdana Menteri perlu diberi kebebasan untuk melantik siapa yang beliau kehendaki dalam Kabinetnya kerana kita memiliki ramai individu yang berkelayakan.

“Perdana Menteri ada 222 ahli Parlimen tidak termasuk ahli Dewan Negara yang boleh dipilih untuk dilantik sebagai anggota jemaah menteri,” katanya.