Perbicaraan 1MDB: Roger Ng jadi saksi pembelaan esok

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Wa akan tampil sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes 1MDB pagi esok.
Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Wa akan tampil sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes 1MDB pagi esok.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Wa akan tampil sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pagi esok.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, bahawa satu perkembangan terkini semasa sesi temu bual dengan Roger Ng, telah mendorong pihak pembelaan untuk memohon agar keterangannya diberikan di mahkamah esok.

Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.

Pada prosiding sebelah pagi, Sequerah memutuskan bahawa Roger Ng boleh dipanggil untuk memberi keterangan, walaupun terdapat perintah sekatan yang dikeluarkan mahkamah Amerika Syarikat (AS).

"Mahkamah ini tidak bersedia untuk menunggu sebarang pindaan yang dimohon. Perintah perlindungan mahkamah AS itu tidak mengikat mahkamah ini,” katanya.

Roger Ng yang telah disabitkan kesalahan di New York kerana membantu dalam penyelewengan dana 1MDB dan dihukum penjara 10 tahun, diwakili peguam Datuk Tan Hock Chua. Beliau dijangka akan diekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan lanjut yang berkaitan dengan kes tersebut.

Pada 30 Oktober 2024, Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan memerintahkan beliau untuk membela diri.

Najib, 71, berdepan dengan 25 pertuduhan secara keseluruhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!