1MDB: Bekas pegawai bank Goldman Sachs dibawa ke mahkamah sebagai saksi

Muhammad Shafee pada sidang akhbar di Istana Kehakiman pada Isnin.
Muhammad Shafee pada sidang akhbar di Istana Kehakiman pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang dikenakan hukuman 10 tahun penjara di New York akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi pembelaan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya akan menemu bual Roger Ng terlebih dahulu selama 30 minit hingga sejam, sebelum beliau dipanggil memberikan keterangan di mahkamah.

"Mungkin beliau boleh menyatakan yang Najib tidak bersalah...Kita tidak tahu," katanya menerusi sidang akhbar di Istana Kehakiman di sini pada Isnin.

Muhammad Shafee berkata, keterangan Roger Ng akan memberikan gambaran sebenar di sebalik penyelewengan dana 1MDB sekali gus akan membuktikan bekas Perdana Menteri itu tidak terlibat dalam skandal berkenaan.

"Mengapa Najib seorang sahaja yang berada dalam kandang tertuduh sedangkan mereka daripada pihak bank, Bank Negara Malaysia (BNM) dan bekas pegawai tertinggi 1MDB hanya dipanggil sebagai saksi, itu sahaja, tidak lebih dari itu," soalnya.

Najib, 72, menghadapi 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah berada di peringkat pembelaan.

Roger Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat di Brooklyn, New York, pada 9 Mac 2023 selepas didapati bersalah membantu menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Beliau kini dipercayai berada dalam tahanan pihak berkuasa Malaysia selepas AS membenarkan permohonan negara ini untuk membawa pulang bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Roger Ng akan dikembalikan kepada AS untuk menjalani hukuman pemenjaraan sebaik sahaja siasatan terhadapnya di negara ini selesai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!