Pahang kaji peluang adaptasi teknologi AI dalam sektor awam negeri

Mohamad Nizar
Mohamad Nizar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang kini giat menjalankan kajian dan menjalin potensi usahasama strategik bagi meneroka penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor awam di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, agensi yang akan diberi keutamaan termasuk Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri serta agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam pembangunan sosioekonomi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah.

Menurutnya, antara yang akan dibangunkan tahun ini ialah chatbot dan pengurusan aduan berasaskan Al yang akan meningkatkan kecekapan, ketulusan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.

"Kerajaan negeri turut merancang untuk memperkasakan penggunaan teknologi Al dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran awam, pendidikan, pertanian dan pelancongan.

"Antara langkah awal yang diambil adalah menjalankan program kesedaran dan latihan kompetensi Al dalam kalangan penjawat awam dan usahawan tempatan serta menyokong pembangunan ekosistem teknologi melalui kerjasama dengan universiti, agensi penyelidikan dan sektor industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Andansura Rabu (Beserah-Pas) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Mohamad Nizar berkata, perancangan kerajaan negeri itu selaras dengan Dasar Al Nasional dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

"Selain itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah menandatangani perjanjian bersama syarikat dari China dengan pelaburan bernilai AS$100 juta bagi tujuan pembangunan pusat data berasaskan Al yang akan beroperasi seawal tahun 2027 di Gambang.

"Pusat data itu sebagai peneraju pertama hab data di negeri Pahang dan satu-satunya di pantai timur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, hab itu juga akan menyediakan platform-platform digital berasaskan Al yang memfokuskan kepada rantaian agrikultur negeri.

"Dengan permulaan ini, ia akan membuka ruang dan lembaran baru kepada rakyat bagi menggunakan perkhidmatan ini," katanya.

Sementara itu katanya, Pejabat SUK Pahang juga mengadaptasi elemen teknologi AI dalam pelaksanaan data raya negeri khususnya dalam kajian bencana dan perkahwinan.

Pada masa sama, Kursus Pendigitalan Kakitangan Awam Kerajaan Negeri juga telah diadakan pada Julai hingga Ogos tahun lalu.

"Melalui inisiatif awal itu, kakitangan awam negeri didedahkan dengan aplikasi Al seperti chatGPT dan aplikasi lain melalui platform Pahang Go," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!