Lelaki reka cerita disamun elak bayar denda hilang MyKad

Azli
Azli
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki sanggup mereka cerita kononnya disamun semata-mata mahu mengelak daripada membayar denda akibat kehilangan MyKad.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 21 tahun itu tampil membuat laporan polis pada pagi Isnin mendakwa disamun oleh seorang individu berpakaian serba hitam ketika melalui jalan kampung berhampiran kawasan Ibai Golf, Kuala Ibai, di sini.

"Pada mulanya suspek mendakwa lelaki tersebut melambai meminta bantuan kerana motosikalnya rosak di tepi jalan.

"Suspek kononnya berpatah balik untuk membantu, namun dipukul dengan topi keledar sebelum beg silang miliknya dilarikan," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Jelas Azli, suspek mendakwa beg berkenaan mengandungi wang tunai RM1,150, MyKad, telefon bimbit, jam tangan jenama Fossil dan alatan vape.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit sebenarnya kehilangan beg tersebut dalam satu pergaduhan dengan kenalan lamanya di Kampung Gong Tok Nasek, di sini.

Menurut Azli, suspek yang baru dibebaskan dari penjara atas kesalahan dadah dan tidak mempunyai pekerjaan itu mengaku membuat laporan palsu selepas dinasihatkan oleh sepupunya.

"Dia juga mendakwa tidak tahu bahawa membuat laporan palsu kepada polis adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

"Kes akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!