Bergaduh di kasino Genting Highlands gara-gara tak dapat bilik hotel

BENTONG – [DIKEMAS KINI] Dua lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di dalam sebuah kasino di Genting Highlands pada 17 April lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, berkata ketiga-tiga suspek yang berusia antara 32 hingga 59 tahun itu ditahan oleh polis bantuan kira-kira jam 3.05 pagi.
Menurutnya, insiden berkenaan turut dirakam dalam sebuah klip video berdurasi 42 saat yang tular di beberapa platform media sosial.
“Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan (kesalahan gaduh gempar), Seksyen 448 Kanun Keseksaan (pencerobohan jenayah), serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tinggal melebihi tempoh dibenarkan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaiham memaklumkan, kesemua suspek kini direman sehingga 22 April (Selasa) bagi membantu siasatan.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana tidak mendapat bilik hotel meskipun telah membuat bayaran sebanyak RM1,500.
“Polis meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini memandangkan siasatan sedang dijalankan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

