BN boleh menang selesa jika 70 peratus keluar mengundi

TAPAH - Barisan Nasional (BN) yakin mampu meraih kemenangan selesa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sekiranya peratusan keluar mengundi berjaya mencapai antara 70 hingga 75 peratus.
Keyakinan itu disuarakan Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan yang turut memaklumkan beliau kini berada dalam lawatan kerja kali ke-15 di kawasan DUN berkenaan sejak kempen bermula.
"Kalau kita boleh dapat 70 ke 75 peratus (keluar mengundi), maka kita boleh menambah majoriti daripada 2,000 kepada satu angka yang lebih meyakinkan.
War room berpandangan, kalau 70 peratus itu kita boleh menang dan tambah majoriti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media PRK DUN Ayer Kuning di sini pada Selasa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, pengalaman di PRK DUN Mahkota sebelum ini menjadi asas kepada strategi BN memaksimumkan kehadiran pengundi luar kawasan.

“Kita harap mereka balik Jumaat atau Sabtu pagi. Tak jauh pun. Saya sendiri ulang-alik Kuala Lumpur ke Tapah, dua jam sahaja. Tetapi yang balik itu biarlah yang mengundi BN. Yang tidak undi BN, boleh pulang tahun depan,” selorohnya.
Selain itu katanya, usaha memujuk pengundi daripada semua kaum untuk keluar mengundi turut dilakukan berikutan suasana pasca sambutan Aidilfitri dan perayaan masyarakat Cina yang mungkin menyebabkan kehadiran pengundi merosot.
“Di Mahkota, pengundi Cina kurang keluar kerana baru lepas perayaan. Di sini kita beri tumpuan untuk pastikan semua – Melayu, Cina, India keluar mengundi. Ini kita katakan ada dua raya, Raya Aidilfitri dan Raya Pilihan Raya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad berkata, tinjauan terbaharu mendapati jentera BN sedang bergerak secara teratur dan menyeluruh dengan proses culaan sedang giat dijalankan buat kali kedua di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM).
"Saya lihat sendiri Wanita, Puteri dan ketua-ketua cawangan sedang melakukan kerja-kerja penting walaupun tidak kelihatan di luar. Ini membuktikan jentera kita bergerak rapi,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan lebih 70 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK DUN Ayer Kuning, Sabtu ini.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia, (PSM) Bawani KS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

