Kempen calon PN sudah capai 80 peratus pengundi

TAPAH - Berbaki empat hari lagi sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, kempen calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek telah meliputi 80 peratus pengundi di kawasan itu.
Abd Muhaimin yang mesra disapa Ustaz Muhaimin berkata, baki 20 peratus itu mampu dihabiskan menerusi gerak kempen yang lebih agresif bersama jentera.
"Saya bersama jentera telah pun menyantuni dan juga mendengar rintihan rakyat dari hati ke hati.
"Saya kira lebih daripada 80 peratus pengundi-pengundi di DUN Ayer Kuning dan UDM (unit daerah mengundi) kita dah jumpa dan lawati," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media PN di sini pada Selasa.
Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Abd Muhaimin melihat kecenderungan pengundi di Ayer Kuning mula menunjukkan tanda positif untuk mengalih sokongan kepada PN.
"Insya-ALLAH ada gelombang rakyat. Kita sedang dan akan menyaksikan akan ada perubahan. Perubahan besar atau tidak, tetapi bersejarah," katanya.
Terdahulu, Abd Muhaimin mengumumkan lima tawaran utama yang dikenali sebagai T.E.K.A.D sebagai komitmen wakil rakyat dalam PRK ini.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, daripada BN pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Abd Muhaimin dengan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dan calon Parti Sosialis Malaysia, (PSM) Bawani KS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

