Jaringan 5G Kelantan diperluas
Kerajaan negeri laksana Pelan Induk Fiberisasi, beri insentif besar tarik pelaburan telekomunikasi ke luar bandar

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pendekatan berkenaan sejajar dengan Pelan Kesalinghubungan Gentian Optik yang dirangka kerajaan negeri.

“Pelan ini menyasarkan liputan komunikasi dan internet berkelajuan tinggi bukan sahaja di bandar, tetapi juga di kawasan perindustrian, komersial, sekolah dan institusi pengajian tinggi.
“Kita mahu rakyat luar bandar turut merasai kemudahan telekomunikasi yang pantas dan stabil,” katanya ketika menjawab soalan Wan Rohimi Wan Daud (Pas-Melor) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.
Menurut beliau, kadar fiberisasi bagi tapak bersepadu di negeri ini kini berada pada paras 72.7 peratus dan peningkatan sedang diusahakan menerusi kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta penyedia rangkaian telekomunikasi.
“Antara langkah penambahbaikan termasuk menambah lokasi menara, menaik taraf kapasiti, menjalankan ujian dan pemeriksaan berkala terhadap rangkaian sedia ada,” katanya.
Wan Roslan berkata, bagi merangsang pelaburan dalam pembangunan infrastruktur fiber optik, kerajaan negeri memperkenalkan insentif khas dengan mengurangkan fi hak akses daripada RM10 kepada RM5 per meter bagi projek di bawah kerajaan Persekutuan.
Ujarnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga bersetuju memberikan bayaran pajakan secara berfasa kepada projek SKMM melibatkan pembinaan menara dan jaringan fiber.
“Pada tiga tahun pertama, kadar bayaran pajakan hanyalah 10 sen per meter sebulan, manakala lesen pendudukan tanah pula lima sen per meter.
“Bayaran penuh RM1 per meter hanya dikenakan selepas tahun ketujuh,” katanya.
Kerajaan negeri turut mempertimbangkan kebenaran kemasukan awal dengan deposit 50 peratus untuk projek berkaitan kerajaan bagi mempercepat pelaksanaan pemasangan rangkaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

