Ferrari RM1.47 juta terbakar lepas sejam dibeli

TOKYO – Seorang lelaki di Jepun hanya mampu melihat kereta impiannya musnah dijilat api selepas menunggu dan menyimpan wang selama 10 tahun untuk memilikinya.
Kenderaan mewah model Ferrari 458 Spider yang baru sahaja diterima itu terbakar dalam tempoh kurang sejam selepas pertama kali ia dipandu.
Insiden menyayat hati itu menjadi bualan hangat di media sosial Jepun selepas pemilik kereta berkenaan, seorang penerbit muzik berusia 33 tahun yang dikenali sebagai Honkon, berkongsi kisah malangnya di platform X.
Menurut Honkon, Ferrari 458 Spider itu baru sahaja dihantar kepadanya dan dia keluar untuk mencubanya buat kali pertama di Lebuhraya Shuto, Tokyo pada Rabu, 16 April.
Semasa memandu, dia tiba-tiba menyedari kepulan asap putih, namun pada awalnya menyangka ia datang dari kenderaan di sebelah.
“Saya fikir asap itu dari kereta sebelah, tetapi apabila kereta itu menjauh, saya sedar asap sebenarnya keluar dari Ferrari saya,” katanya.
Dia terus memberhentikan kenderaan di tepi jalan, keluar dan menghubungi pihak bomba. Namun, dalam masa hanya 20 minit, kereta kesayangannya itu musnah terbakar hampir sepenuhnya.
“Saya rasa saya satu-satunya orang di Jepun yang mengalami kejadian seperti ini,” tulis Honkon di X sambil memuat naik gambar kereta terbakar tersebut.
“Saya habiskan 43 juta yen (RM1.47 juta), dan apa yang saya dapat cuma gambar ini,” katanya lagi dalam nada kecewa.
Jurucakap Polis Metropolitan Tokyo memaklumkan tiada kesan pelanggaran dikesan pada kereta terbabit, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Kebakaran itu dipercayai bermula dari bahagian enjin, namun puncanya masih belum diketahui.
Meskipun kecewa dengan kehilangan tersebut, Honkon yang juga penerbit kepada kumpulan idola Jepun, Chocorabi, tetap bersyukur kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Saya takut kereta itu akan meletup. Syukur saya selamat,” katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!