Bocor maklumat sulit lagi

WASHINGTON - Setiausaha Pertahanan Negara Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth sekali lagi berdepan insiden memalukan apabila perbuatannya membocorkan maklumat sulit kepada grup sembang peribadi didedahkan New York Times (NYT) pada Ahad.
Ia merupakan tuduhan kedua dilemparkan terhadap Hegseth selepas beliau didakwa berkongsi pelan operasi ketenteraan sensitif kepada ahli keluarga dan peguam beliau menerusi aplikasi pemesejan Signal.
Pada bulan lalu, majalah The Atlantic turut mendedahkan perbuatan beliau yang mendedahkan maklumat rahsia mengenai rancangan serangan ke atas Yemen yang dilancarkan pada 15 Mac lalu.
Pendedahan perbincangan strategi ketenteraan secara tidak sengaja itu telah memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Presiden Donald Trump yang ketika ini sedang berdepan siasatan Pentagon.
"Hegseth berkongsi maklumat sama dengan kumpulan sembang kedua di Signal. Antara pelan operasi yang didedahkan adalah mengenai jadual serangan F/A-18 Hornets ke atas kedudukan pejuang Huthi di Sanaa.“Grup sembang itu dicipta sendiri oleh beliau pada Januari lalu dan terdiri daripada isteri, adik-beradik dan rakan rapatnya sebelum Hegseth dilantik sebagai Setiausaha Pertahanan,” jelas laporan NYT itu lagi.
Difahamkan, isteri beliau, Jennifer merupakan wartawan dan bekas penerbit Fox News.
Sebelum ini, Trump berulang kali menyalahkan Penasihat Keselamatan Negara, Mike Waltz atas kebocoran maklumat itu, namun beliau menolak langkah pemecatan ke atas pegawai terlibat atas kejayaan serangan pertama ke atas kumpulan Huthi.
Pada minggu lalu, tiga pegawai Pentagon diberi cuti sementara menunggu siasatan terhadap insiden kebocoran yang tidak dinyatakan di Jabatan Pertahanan tersebut. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

