'Sudah lama saya pendam' - Linda Hashim dedah jadi mangsa keganasan rumah tangga

Linda berharap, Beego dapat memberi kerjasama untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Linda berharap, Beego dapat memberi kerjasama untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
A
A
A

PELAKON Linda Hashim mendakwa telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak 2016 dan kali terakhir pada Oktober tahun lalu.

Ujar Linda, 41, dia akhirnya membuat keputusan untuk membuka mulut selepas mendapat nasihat orang yang lebih arif iaitu peguam syarienya iaitu Nurul Fadzilah Kamaluddin.

“Atas nasihat orang yang lebih arif, memandangkan kes ini pun saya mendapati berbaur fitnah. Banyak perkara berlaku kepada saya dan saya cuba diamkan diri. Namun, benda itu sudah dimanipulasi.

“Jadi, saya nak dedahkan di mana saya ada empat laporan polis dan tiga laporan hospital berhubung kecederaan yang dialami.

“Keganasan rumah tangga berlaku pertama kali pada 2016 dan kali terakhir pada hari saya keluar dari rumah Oktober tahun lalu,” katanya ketika ditemui sebaik selesai prosiding perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah Linda atau nama penuhnya Norhazlinda Hashim, bagaimanapun bukan kes keganasan ingin ditekankan, sebaliknya beberapa perkara lain yang telah mengganggu mentalnya dan anak-anak.

Namun dalam masa sama, Linda berkata, dia tidak akan teragak-agak mendedahkan semua sekiranya suaminya, Beego terus melakukan provokasi.

"Sebenarnya bukan kes keganasan saya nak tekankan. Dia mengganggu mental saya dan anak-anak. Sampai anak campak telefon kalau cakap dengan bapanya.

"Kalau di sana (Beego) terus mencungkil (provokasi), saya tidak teragak-agak untuk mendedahkan semuanya sebab sudah berbelas tahun saya pendam," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Linda berharap kes rumah tangga mereka dapat diselesaikan secara baik dan Beego boleh meletak ke tepi egonya.

"Tolong selesaikan cara baik, jangan berpura-pura menjadi mangsa dan tegakkan benang yang basah.

"Saya boleh sahaja mengekalkan hubungan baik, berkawan demi kebahagiaan anak-anak jika kami bercerai," jelasnya.

Mahkamah pada Rabu menetapkan tarikh 30 Jun bagi pembentangan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Terdahulu, Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.

Sebelum ini, pasangan tersebut pernah bercerai dan kembali rujuk iaitu pada April 2023. Bagaimanapun tidak lama kemudian, mereka bercerai buat kali kedua dan rujuk semula, tetapi ia tidak didedahkan kepada umum.

Terdahulu, Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, serta Indah Camelia, 6.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!