Polis bongkar sindiket jual 'biskut ganja' RM90 sepeket

Rusdi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Rusdi (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membongkar aktiviti pengedaran 'biskut ganja' yang dijual pada harga RM90 sepeket secara dalam talian hasil penahanan lapan individu termasuk dua wanita dalam dua serbuan berasingan di sini dari Rabu dan Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya memberkas lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 28 tahun dalam serbuan pertama di dua residensi di Mont Kiara tepat jam 2.20 pagi pada Rabu.

"Kita menjumpai tiga beg berisi dadah jenis ganja dengan anggaran berat 32 kilogram (kg) dan biskut ganja 2kg," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Rusdi berkata, pihaknya kemudian memberkas seorang lelaki di hadapan sebuah residensi di Jalan Duta di sini pada jam 2.10 petang, Khamis.

"Pemeriksaan di dalam kereta milik suspek, kita menjumpai satu kotak yang berisi biskut ganja seberat tujuh kg," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas, ganja mampat seberat 32kg dan biskut ganja 9kg dianggarkan bernilai RM105,000.

"Kita turut melaksanakan tindakan pelucuthakan harta dengan menyita wang tunai RM120, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan tiga buah kenderaan," ujarnya.

Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan yang aktif sejak tahun lalu adalah mendapatkan bekalan dari negara jiran dan mengedarkannya semula kepada pelanggan secara dalam talian.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis ganja.

Artikel Berkaitan:

"Semakan rekod mendapati hanya dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!