Arkib Muzik Perak simpan kenangan M Daud Kilau

Khairudin
Khairudin
A
A
A

IPOH - Pakaian milik Allahyarham Datuk M Daud Kilau kelahiran Bagan Datuk akan disimpan di dalam Arkib Muzik Perak sebagai menghargai sumbangan penyanyi legenda negara itu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, beberapa busana itu antara lebih 2,000 bahan yang bakal didigitalkan menerusi inisiatif kendalian People of Remarkable Talent (PORT).

Menurutnya, arkib yang diwujudkan sejak 2022 itu bertujuan memastikan khazanah muzik negeri ini dapat direkodkan dan dijadikan rujukan generasi akan datang, khususnya pengkaji budaya serta pelajar seni.

"Arkib Muzik Perak sudah pun ditubuhkan melalui PORT sejak tahun 2022 dan proses pendigitalan sekitar 2000 bahan, termasuk beberapa pakaian Allahyarham Datuk M Daud Kilau, sedang giat dibuat.

"Sasaran pelancaran laman sesawang Arkib Muzik Perak adalah pada bulan Julai tahun ini dan ia diharap akan menjadi sumber rujukan berguna kepada ramai pihak, khususnya para pengkaji budaya, pelajar seni dan orang ramai yang berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Isnin.

Sementara itu Khairudin berkata, kerajaan negeri turut dalam proses rundingan bagi pembangunan Pusat Kreatif PORT.

Menurutnya, bagi tujuan tersebut, beberapa agensi terlibat antaranya termasuklah Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Kerja Raya serta Pejabat Tanah dan Galian.

Sementara itu, Khairudin berkata, pengiktirafan Ipoh sebagai Bandar Kreatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) dalam kategori muzik pada penghujung 2023 turut berpaksikan usaha berterusan PORT dalam memperkasakan ekosistem muzik tempatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PORT juga aktif membawa bakat muzik negeri ke pentas antarabangsa, antaranya di Ambonia Music Fest di Indonesia dan Suphanburi Cultural Festival di Thailand baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!