Tiada kemarau panjang, bomba siap siaga peralihan monsun
Beri tumpuan bencana banjir kilat luar jangka

KOTA BHARU - Malaysia dijangka tidak berdepan ancaman kemarau panjang walaupun negara kini berada dalam fasa peralihan Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, bagaimanapun berlaku perubahan cuaca tidak menentu sewaktu fasa peralihan monsun terbabit dan berisiko menyebabkan banjir kilat secara mendadak.

“Hujan dijangka berlaku terutama pada sebelah petang dan tertumpu di sesetengah lokasi sahaja.
“Sehubungan itu, peringatan awal dikeluarkan kepada semua balai bomba agar bersedia dengan sebarang kemungkinan seperti berlaku di enam daerah babitkan Selangor, Johor dan Sabah pada minggu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Bomba dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Kelantan di sini pada Isnin.
Menurutnya, kesiapsiagaan oleh pasukan penyelamat itu membolehkan usaha penyelamat diatur gerak lebih awal dalam keadaan bencana luar jangka.
Kata beliau, dalam pada itu, pemantauan semasa mendapati tiada petunjuk kepada pembentukan fenomena kemarau luar biasa bagi tahun ini dengan catatan suhu permukaan Lautan Pasifik di Khatulistiwa sekitar 0.5 darjah Celcius.
“Malaysia jarang alami kemarau dan hari tanpa hujan sekitar tiga hingga empat minggu masih dalam keadaan terkawal,” katanya.
Nor Hisham berkata, tumpuan kini lebih diberikan kepada risiko banjir kilat kerana kesannya yang lebih besar kepada individu dan harta benda.
Jelasnya, tidak seperti banjir monsun yang boleh dijangka dan diurus lebih awal, banjir kilat berlaku secara tiba-tiba.
“Kalau banjir monsun, orang awam boleh pindah barang dan kenderaan, tapi banjir kilat air naik mendadak, tak sempat nak buat apa-apa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

