Covid-19 ancam Asia Barat, Afrika Utara

Peta menunjukkan negara di Asia Barat dan Afrika Utara yang diserang Covid-19.
Peta menunjukkan negara di Asia Barat dan Afrika Utara yang diserang Covid-19.
A
A
A

TEHERAN - Koronavirus (Covid-19) terus merebak dengan cepat di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara dengan lebih 2,000 jangkitan direkodkan selepas kes di China dilaporkan menurun.

Rantau Teluk baru-baru ini menyaksikan kadar jangkitan yang mendadak dengan Iran sebagai pusat penyebaran wabak itu yang telah mencatatkan 77 kematian yang merupakan jumlah paling tinggi di luar China.

Ancaman epidemik tersebut telah menyebabkan beberapa negara mengambil tindakan segera menggantung penerbangan ke seluruh Asia Barat selain menutup sempadan masing-masing sebagai usaha untuk membendung penularan Covid-19.

Walaupun pelbagai langkah telah diambil, seluruh negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kini telah merekodkan kes jangkitan Covid-19 dan kesemuanya melibatkan mereka yang pernah berkunjung ke Iran.

Kes pertama di Asia Barat dilaporkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29 Januari lalu, namun virus tersebut dapat dibendung dan hanya 21 kes jangkitan direkodkan sehingga kini.

Wabak itu bagaimanapun menular dengan cepat di seluruh rantau Asia Barat pada akhir Februari selepas kes jangkitan meningkat secara tiba-tiba di Iran yang kemudiannya merebak ke Bahrain, Kuwait dan Iraq.

Ketika ini, Teheran sedang bergelut untuk membendung epidemik tersebut yang turut menjangkiti beberapa menteri dan seramai 23 ahli Parlimen.

Kelmarin, Mohammad Mirmohammadi, 72, yang merupakan penasihat kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan meninggal dunia akibat virus tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan bantuan untuk membantu Iran menangani wabak tersebut.

Teheran bagaimanapun menolak tawaran tersebut dan mendakwa ia sebagai satu propaganda.

“Kami curiga dengan niat AS dan tidak berharap dengan bantuan mereka,” kata jurucakap Kementerian Luar, Abbas Moussavi.

Ketika ini, negara Afrika Utara yang merekodkan kes virus itu ialah Algeria mencatatkan lima kes dan Tunisia serta Maghribi masing-masing merekodkan satu kes.

Sementara itu, Iraq yang sedang bergelut krisis politik melaporkan 19 kes jangkitan, Lubnan merekodkan 10 kes jangkitan dan Mesir mencatatkan dua kes jangkitan serta Jordan mengesahkan satu kes jangkitan.

Lebih 89,000 individu di lebih 60 negara didiagnos positif Covid-19 manakala kematian di seluruh dunia melangkaui 3,000 orang. - Agensi



Covid-19 menyerang seluruh GCC

ARAB SAUDI

Riyadh mengesahkan kes jangkitan pertama Covid-19 kelmarin melibatkan seorang rakyat tempatan yang pulang dari Iran melalui Bahrain. Individu itu didakwa tidak mendedahkan dia pernah ke Teheran.

Kementerian Kesihatan mengumumkan ia telah menyediakan 25 hospital dilengkapi 8,000 katil untuk menangani kes jangkitan virus tersebut.

Pada 27 Februari lalu, Kementerian Luar memaklumkan penggantungan sementara visa umrah dan visa pelancong dari negara berisiko.

Negara yang terlibat di bawah sekatan itu ialah Afghanistan, Azerbaijan, China, Hong Kong, Indonesia, Iran, Itali, Jepun, Kazakhstan, Macau, Malaysia, Pakistan, Filipina, Singapura, Somalia, Korea Selatan, Syria, Taiwan, Thailand, Uzbekistan, Vietnam dan Yemen.

EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE)

UAE menjadi negara Teluk pertama mengesahkan kes jangkitan Covid-19 pada 29 Januari lalu.

Kementerian Luar mengumumkan ia telah memindahkan rakyat mereka dari Iran sebagai usaha untuk mencegah penularan virus tersebut.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan 21 kes jangkitan dan lima daripadanya telah sembuh.

Pada 29 Februari lalu, Kementerian Pendidikan turut menggantung aktiviti sekolah dan lawatan luar sehingga notis lanjut dikeluarkan selain menutup taman asuhan.

Pihak Berkuasa Persekutuan untuk Pengangkutan Darat dan Maritim (FTA) menggantung perkhidmatan feri dengan Iran dan mewajibkan kesemua kapal komersial menyerahkan maklumat kesihatan kru mereka kira-kira 72 jam sebelum berlabuh.

UAE melarang perjalanan ke Iran, Thailand dan China.

BAHRAIN

Kementerian Kesihatan mengesahkan 49 kes jangkitan Covid-19 dan majoriti daripada mereka yang pulang dari Iran.

Kerajaan menggantung sesi persekolahan, universiti dan taman asuhan di seluruh negara selama dua minggu bermula 25 Februari lalu.

Pada 24 Februari, Bahrain melarang perjalanan dari dan ke Iran.

KUWAIT

Kementerian Kesihatan mengesahkan 56 kes jangkitan Covid-19 dan majoriti daripada mereka pulang dari Iran atau mempunyai kontak rapat dengan individu yang pernah ke Teheran.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam menghentikan kesemua penerbangan dari dan ke Iran. Ia juga melarang kemasukan individu dari Teheran.

OMAN

Kementerian Kesihatan melaporkan enam kes jangkitan Covid-19 dan seorang daripadanya ‘sembuh sepenuhnya’. Kesemua kes melibatkan mereka yang pernah berkunjung ke Iran.

Pihak berkuasa penerbangan awam bertindak menggantung kesemua penerbangan pelancongan Itali ke Lapangan Terbang Salala selama sebulan.

Pada 28 Februari, kerajaan melarang penduduk GCC memasuki atau keluar dari negara tersebut.

QATAR

Kementerian Kesihatan mengesahkan tujuh kes jangkitan Covid-19 dan kebanyakannya melibatkan mereka yang tiba dari Iran.

Bermula 1 Mac, kerajaan mengenakan sekatan sementara ke atas mereka yang tiba dari Mesir.

Pada 27 Februari lalu, kerajaan memindahkan rakyat Qatar dan Kuwait dari Iran.

Qatar Airways mengumumkan ia akan mengenakan kuarantin terhadap mana-mana penumpang yang tiba dari Iran dan Korea Selatan yang menunjukkan simptom