Karnival Jom Masuk U bantu pelajar hadapi cabaran Industri 5.0

Mohd Yusof (tengah) beramah mesra bersama pelajar yang hadir sempena Karnival Jom Masuk U Zon Timur II 2025 di UniSZA pada Ahad.
Mohd Yusof (tengah) beramah mesra bersama pelajar yang hadir sempena Karnival Jom Masuk U Zon Timur II 2025 di UniSZA pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Karnival Jom Masuk U Zon Timur II 2025 yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi platform penting dalam membantu persediaan pelajar lepasan sekolah menghadapi cabaran dunia pendidikan tinggi serta era Revolusi Industri 5.0.

Program anjuran Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu turut disertai pelbagai institusi pendidikan awam dan swasta termasuk politeknik, kolej komuniti serta MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).

Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Datuk Dr Mohd Yusof Md Nor berkata, karnival itu bukan sahaja memberi peluang pelajar mendapatkan maklumat tepat mengenai laluan pendidikan tinggi, malah membantu mereka membuat pilihan selari dengan minat, potensi dan keperluan masa depan.

Antara pelajar yang menghadiri Karnival Jom Masuk U Zon Timur II 2025 di UniSZA pada Ahad.
Antara pelajar yang menghadiri Karnival Jom Masuk U Zon Timur II 2025 di UniSZA pada Ahad.

"Pendedahan kepada Revolusi Industri 5.0 ini penting kerana teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), internet of things (IoT) dan realiti maya (VR) kini menjadi sebahagian besar dunia pendidikan dan kerjaya.

"Namun, teknologi ini perlu digabungkan dengan ilmu dan akhlak agar ia memberi manfaat, bukan sebaliknya merosakkan masyarakat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jom Masuk U Zon Timur II di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA di sini pada Ahad.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus menyokong program seumpama itu dalam usaha melahirkan generasi cemerlang dalam akademik, berakhlak tinggi dan menyumbang kepada kemajuan negara.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu berjaya menarik kehadiran lebih 35,000 pengunjung.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!