Tidak hanya universiti, laluan lebih terbuka lepasan SPM sambung pengajian

Zambry ketika meninjau operasi Bas Klinik Bergerak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sempena Program Outreach KPT@Tapah di Dewan Serbaguna Perumahan Awam 2 Air Kuning, Tapah pada Selasa.
Zambry ketika meninjau operasi Bas Klinik Bergerak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sempena Program Outreach KPT@Tapah di Dewan Serbaguna Perumahan Awam 2 Air Kuning, Tapah pada Selasa.
A
A
A

TAPAH - Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi perlu bergantung kepada universiti semata-mata untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa laluan pendidikan kini jauh lebih terbuka termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Pendidikan hari ini bukan lagi tentang universiti sahaja. Ada laluan lain yang sama penting dan sama tarafnya.

"Jika mereka masuk kolej komuniti atau politeknik, mereka tetap boleh menyambung pengajian hingga ke peringkat universiti teknikal," katanya ketika ditemui dalam Program Outreach KPT@Tapah di Dewan Serbaguna Perumahan Awam 2 Air Kuning di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sistem pendidikan tinggi di bawah kerajaan Madani telah mengalami perubahan ketara dengan memberi pengiktirafan setara kepada institusi teknikal seperti Kolej Komuniti, politeknik dan institusi TVET lain.

"Perubahan besar yang kita lakukan dengan melihat semula aspek pendidikan itu bukan hanya bersifat akademik, tetapi juga dalam bidang teknikal.

"Kalau dahulu seseorang habis belajar di kolej komuniti, itu mungkin pengakhiran tetapi sekarang tidak lagi.

Artikel Berkaitan:

"Kita sediakan satu laluan yang membolehkan mereka terus belajar ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, calon SPM terutama yang mendapat keputusan cemerlang tidak menolak sebarang tawaran kerana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan berusaha memberi bantuan sewajarnya kepada mereka.

Antara program tajaan yang disediakan ialah bantuan kewangan asasi ke universiti awam, bantuan kewangan Orang Kurang Upaya (OKU), bantuan kewangan pelajar politeknik dan Kolej Komuniti.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan SPM 2024 akan diumumkan pada Khamis ini.

Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM 2024 daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi pada tarikh tersebut.

Dalam perkembangan lain, Zambry memaklumkan, taklimat awal Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) telahpun dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita cuma menunggu waktu yang sesuai untuk melancarkannya tahun ini,” katanya.

Sebelum ini, Zambry berkata KPT sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan PPTM 2025-2035 susulan pelan sedia ada bakal berakhir hujung tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!