Remaja 16 tahun jemaah haji termuda dari Pahang

PEKAN – Remaja 16 tahun dari Chanis, Muadzam Shah merupakan jemaah haji termuda dari Pahang yang terpilih menjadi tetamu ALLAH pada tahun ini.
Amsyar Muhamad Razaki antara 1,725 jemaah dari negeri ini yang dijadualkan berangkat ke tanah suci bermula pada 29 April ini.
Anak pasangan guru itu berkata, ibunya telah mendaftar namanya di Tabung Haji (TH) ketika dia berusia dua bulan.
"Masa darjah enam, emak ada beritahu pasal ini (daftar haji) tapi saya tidak ambil serius sebab ingat dia hanya main-main.
"Agak terkejut juga apabila terima panggilan nama terpilih untuk menunaikan haji bersama ibu dan abang sulung tahun ini," kata anak kedua dari tiga beradik itu.

Amsyar berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 1446H/2025 Peringkat Negeri Pahang yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj di sini pada Ahad.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muadzam Shah itu mengakui telah bersedia sepenuhnya untuk ke tanah suci melalui penerbangan yang dijadualkan pada 23 Mei hingga 30 Mei ini.
Sementara itu, Iteh Mat Noor, 84, antara dua jemaah paling tua dari Pahang bersyukur apabila dapat mengerjakan haji tahun ini selepas tiga kali terpaksa menolak tawaran faktor yang tidak dapat dielakkan.

Warga emas dari Jengka 11, Bandar Pusat Jengka itu mengakui sudah lama menunggu peluang itu dan tidak sabar untuk berangkat pada 13 Mei ini.
"Alhamdulillah, persiapan telah dilakukan sebaiknya tunggu masa untuk berangkat sahaja," katanya yang akan bertolak ke Tanah Suci bersama dua jirannya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menyediakan wang saku RM750 setiap seorang kepada 1,725 jemaah dari Pahang terpilih menunaikan ibadah haji tahun ini.
Menurutnya, pemberian inisiatif menerusi Program Barakah Haji Pahang itu adalah kali ketiga dilaksanakan.
“Sumbangan dengan peruntukkan kewangan RM1.66 juta ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.
"Selain wang saku, jemaah juga dibekalkan dengan pek makanan retort juadah tradisional seperti kari dan kurma ayam berserta Buku Himpunan Doa Arafah yang dilancarkan pada majlis itu" katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, beliau bersama keluarga akan menyertai jemaah haji ke Tanah Suci melalui penerbangan yang dijadualkan 30 Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

