PRK Ayer Kuning: Manifesto calon BN cetusan harapan rakyat

TAPAH – ‘Air Kuning Sejahtera Bersama’ menjadi tema utama manifesto calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurut beliau, manifesto itu lahir daripada cetusan harapan dan aspirasi masyarakat setempat yang didengari sendiri sepanjang kempen di lapangan.
"Ia disusun dengan teliti berdasarkan pengamatan saya sendiri serta luahan rakyat Air Kuning," katanya ketika mengumumkan manifesto berkenaan di Pusat Komando BN, Kampung Haji Tahir, Temoh, pada Ahad.
Mohamad Yusri, 54, berkata, manifesto tersebut berasaskan tiga tekad utama iaitu menjamin perpaduan masyarakat pelbagai kaum, menolak sentimen perkauman dan politik kebencian serta menghubungkan inisiatif sosioekonomi DUN Ayer Kuning selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Beliau turut menggariskan tujuh tawaran utama, termasuk mewujudkan ekonomi tempatan yang makmur melalui pemberian geran khas kepada usahawan kecil, petani, pekebun kecil dan penjaja.
“Akses pasaran hasil tani dan produk kampung juga akan diperluas, selain memperkasa keusahawanan dengan bimbingan serta platform e-dagang,” katanya.
Bagi meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat, Mohamad Yusri turut menawarkan peluasan program kedai bergerak dan jualan Rahmah serta peluang perniagaan kepada peniaga kecil tempatan menerusi program kesejahteraan rakyat.
Di bawah inisiatif pembangunan infrastruktur setempat, beliau berjanji akan menambah baik jaringan jalan kampung dan kawasan pertanian, menyediakan ruang niaga berstruktur untuk penjaja dan peniaga muda serta meningkatkan liputan komunikasi terutama di kawasan perumahan baharu.
Turut menjadi agenda utama ialah golongan muda, melalui tawaran tajaan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian moden, automotif dan digital, serta padanan pekerjaan dengan industri di Tapah, Kampar dan Slim River.

“Tawaran kelima pula menyentuh golongan warga emas, wanita dan Orang Asli, termasuk peluasan akses keselamatan sosial, pendidikan kesihatan dan pembangunan koperasi masyarakat Orang Asli,” jelasnya.
Dalam bidang pendidikan, beliau komited memperjuangkan usaha menaik taraf kemudahan sekolah rendah, menengah dan prasekolah serta menyediakan sokongan pendidikan dan kelas motivasi untuk pelajar.
Beliau turut menegaskan komitmen terhadap perkhidmatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berjiwa rakyat menerusi pembukaan Pusat Khidmat Rakyat dengan waktu operasi panjang termasuk hujung minggu, serta lawatan berkala ke kampung dan taman untuk mendengar serta menyelesaikan masalah rakyat.
“Manifesto ini bukan sekadar tawaran politik, tetapi merupakan ikrar, tanggungjawab dan komitmen saya untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi memastikan semua perkara yang dijanjikan dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut merayu sokongan pengundi Ayer Kuning untuk merealisasikan visi ‘Air Kuning Sejahtera Bersama’.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri (BN), Abd Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April manakala pengundian awal pada 22 April, susulan kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
