Banjir: Satu PPS dibuka di Port Dickson

SEREMBAN - Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Kampung Permatang Pasir, Port Dickson di sini yang menempatkan 32 mangsa daripada sembilan keluarga pagi Ahad.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata, PPS berkenaan yang dibuka pada jam 8.30 pagi tadi menempatkan mangsa dari Taman Linggi Idaman, Darul Widad dan Kampung Permatang Pasir.
"Ia berikutan hujan lebat sejak malam tadi, lokasi itu memang kawasan rendah dan berdekatan sungai, jadi memang akan cepat dinaiki air, ketika ini hujan renyai dan banjir masih belum surut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, tiada kemusnahan harta benda yang teruk dilaporkan akibat banjir itu dan pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!