Barcelona bangkit dramatik tundukkan Celta Vigo

PENDAHULU La Liga Sepanyol, Barcelona membuktikan semangat juang yang tidak pernah luntur apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 4-3 ke atas Celta Vigo di Estadi Olímpic Lluís Companys.
Kemenangan pada Sabtu itu disambut gembira pengendali Hansi Flick, biarpun dibayangi kecederaan penyerang utama, Robert Lewandowski.
Sepakan penalti Raphinha pada minit ke-98 memastikan tiga mata berharga buat Barcelona dalam perebutan kejuaraan La Liga.
Kemenangan itu juga melebarkan jurang mata dengan musuh tradisi, Real Madrid, kepada tujuh mata, dengan Real Madrid akan melayan Athletic Bilbao di Santiago Bernabéu pada Ahad.
Flick menyifatkan pertembungan itu sebagai salah satu kebangkitan yang sukar dilupakan sepanjang mengendalikan The Catalans.
Tambahnya, kemenangan tidak mudah diraih setelah Borja Iglesias meledakkan hatrik yang memberikan Celta pendahuluan 3-1.
"Apabila kami menang, kami menyukai perlawanan seperti ini. Kami berdepan pasukan yang sangat baik, mereka meraih keputusan yang baik dalam 10 perlawanan terakhir, seperti yang saya katakan semalam dalam sidang media. Jurulatih mereka melakukan tugas yang fantastik.
"Saya fikir gol-gol yang kami boloskan tidak ada kaitan dengan tekanan kami. Biasanya kami menekan dengan sangat baik, tetapi hari ini kami melakukan kesilapan. Kami memudahkan pihak lawan. Namun, pasukan melakukan segalanya, kami tidak menyerah. Itulah mentaliti yang kami miliki sekarang. Ia sangat bagus.
"Saya tidak mahu bercakap mengenai kesilapan yang dilakukan pemain saya. Saya fikir semua orang dapat melihat bahawa pasukan tidak menyerah, mereka melakukan yang terbaik selama 90 minit dan kami meraih tiga mata," tegas Flick.
Dengan dua gol pada separuh masa kedua, Raphinha kini telah menjaringkan 30 gol untuk Barcelona dalam semua pertandingan.
Flick tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila memeluk pemain Brazil itu selepas wisel penamat.
"Saya memeluk Raphinha kerana segala-galanya tidak berjalan lancar baginya pada separuh masa pertama. Saya menyuruhnya untuk berfikiran positif dan pada separuh masa kedua, ia terbukti.
"Pada separuh masa, saya memberitahu Raphinha, 'Ayuh, berfikiran positif. Kami memerlukan kamu di padang sebagai seorang pemimpin.' Kemudian dia masuk dan memberikan persembahan itu," kata Flick.
Bagaimanapun, Barcelona kini berdebar menantikan perkembangan kecederaan Lewandowski selepas penyerang Poland itu dilihat memegang kakinya dan terpaksa dikeluarkan pada lewat permainan.
Kecederaan hamstring mungkin akan mengetepikan pemain berusia 36 tahun itu – yang telah menjaringkan 40 gol musim ini – daripada final Piala Raja Sepanyol menentang Real Madrid pada hujung minggu depan.
Barcelona juga dijadualkan bertemu Inter Milan dalam separuh akhir Liga Juara-Juara pada akhir bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

