Selangor hadiahkan kemenangan penutup musim buat penyokong Gergasi Merah

SELANGOR FC melabuhkan kempen Liga Super apabila menghadiahkan kemenangan kepada penyokong The Red Giants setelah menjinakkan PDRM FC, 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.
Bagaimanapun Red Giants kendalian Katsuhito Kinoshi yang menampilkan Faisal Halim dalam kesebelasan utama terpaksa kehilangan pemain lincah itu setelah dipercayai mengalami kecederaan hidung selepas bertembung dengan kapten The Cops, Faith Friday Obilor dalam insiden minit ke-55.
Selangor yang tampil dengan reputasi naib juara di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) bagaimanapun sebelum itu berdepan kesukaran merobek pertahanan The Cops yang tampil lebih berdisiplin sepanjang 45 minit pertama.

Separuh masa kedua, The Cops kendalian Eddy Gapil yang tampak lebih garang bagaimanapun dikejutkan jaringan Alvin Fortes pada minit ke-49 untuk tuan rumah memimpin perlawanan.
Red Giants yang diketuai Safuwan Baharudin kemudian meningkatkan tekanan akhirnya berjaya menyumbat gop Kedua yang dihasilkan Yohandry Orazco pada minit ke-92 untuk kemenangan, 2-0.
Kemenangan ke-16 selepas mengharungi 24 perlawanan - 16 menang, empat seri, empat tewas - membolehkan Selangor juga juara Piala Cabaran mengumpul 52 mata
PDRM pula juga naib juara Piala Cabaran mengumpul 27 mata - tujuh menang, enam seri, 11 tewas selepas mengharungi 24 perlawanan.
Sementara di Temerloh pula, Sri Pahang memanfaatkan perlawanan berintesiti tinggi menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang penyandang juara JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil apabila menjinakkan Penang FC, 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!