Vendor makanan bayi dari Singapura mohon maaf Jalur Gemilang tanpa bulan sabit

SHAH ALAM - Syarikat makanan bayi dari Singapura yang turut serta dalam pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur memohon maaf kerana memuat naik video memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Singapore Lactation Bakes (SLB) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengakui betapa penting Jalur Gemilang sebagai lambang identiti, warisan dan perpaduan negara.
“Sememangnya ia bukan niat kami sama sekali untuk tidak menghormati atau merendahkan simbol kebangsaan yang penting ini.
“Kami amat menyesali kesilapan tidak segaja yang telah berlaku semasa proses kreatif dan bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan tersebut serta telah mengeluarkan video tersebut,” katanya pada Sabtu.
Katanya, kejadian tersebut menjadi ikhtibar untuk lebih prihatin pada masa akan datang.
"Kami sentiasa bersedia menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan kami di Malaysia dan amat kecewa bahawa kesilapan kami mungkin telah menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat di negara ini," jelas kenyataan itu.
Sebelum itu, TCE Baby Expo selaku pihak penganjur turut memohon maaf susulan insiden melibatkan salah satu pempamer yang menyertai pameran berkenaan.
Jelasnya, tindakan segera telah diambil dengan menghentikan dan menutup kios SLB pada pameran berkenaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!