Majlis tiga serangkai Valantharavai Muslim Jamaath Malaysia meriah

SHAH ALAM – Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES), Shah Alam bergema dengan gelak tawa, ukhuwah dan semangat kekeluargaan apabila ratusan ahli keluarga Valantharavai Muslim Jamaath Malaysia berhimpun.
Majlis tiga serangkai yang berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang itu menggabungkan Hari Keluarga, Mesyuarat Agung Tahunan dan Rumah Terbuka Hari Raya.
Program kali ini juga menyaksikan sambutan luar biasa daripada komuniti Valantharavai, sekali gus memperlihatkan kekuatan dan kesatuan dalam kalangan ahli.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun rapi termasuk sukaneka keluarga, pertandingan kanak-kanak, cabutan bertuah, dan sesi jamuan Aidilfitri yang mempertemukan generasi lama dan baharu dalam suasana penuh harmoni.
Majlis turut memberi ruang kepada sesi mesyuarat tahunan yang berlangsung dalam suasana tertib dan produktif, menyentuh hala tuju serta masa depan pertubuhan.

Menurut Pengarah Urusan Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim, sambutan kali ini turut mendapat sokongan padu daripada para penaja termasuk SMS Deen, Malabar Gold & Diamonds, Khalifah’s Catering, AVS Teknik, Nestlé dan pekej percutian ke Dubai serta Turkiye sumbangan ahli.
Hakimsa Abdul Karim, yang juga merupakan bekas Presiden Valantharavai Muslim Jamaath Malaysia, telah memainkan peranan penting dalam perkembangan pertubuhan ini sepanjang 12 tahun kepimpinannya.
Sumbangan beliau dalam pelbagai aspek, termasuk pengukuhan organisasi dan pengembangan jaringan komuniti, telah membawa pertubuhan ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati.
“Kami amat berbangga dengan sambutan yang hangat ini. Ia bukan sekadar majlis tahunan tetapi juga platform memperkukuh silaturrahim dan jati diri komuniti,” kata beliau pada majlis berkenaan.
Majlis ditutup dengan sesi bergambar beramai-ramai serta doa selamat, sebelum diteruskan dengan pemilihan presiden baharu.
Syed Ibrahim Mohammad Mydeen telah dipilih sebagai Presiden Valantharavai Muslim Jamaath Malaysia yang baharu, menandakan satu lembaran baharu dalam perjalanan pertubuhan itu ke arah masa depan yang lebih gemilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

