Penternak lembu maut dihempap pokok

PASIR PUTEH - Seorang penternak lembu maut selepas dihempap sebatang pokok ketika menunggang motosikal di kawasan belakang Balai Polis Marin Tok Bali di sini, petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Ramli Mohd Rahim, 51, dipercayai dalam perjalanan menuju ke lokasi lembu peliharaannya yang dilepas meragut rumput di kawasan sekitar.
Menurut seorang penyelia tapak, Shamsudin Ibrahim, 57, kejadian disedari selepas salah seorang pekerjanya ternampak pokok tumbang berhampiran jeti semasa memandu lori untuk membuang sampah di kawasan berdekatan.
“Dia melalui kawasan pokok tumbang itu, dan tiba-tiba ternampak mangsa terbaring dihempap pokok bersama motosikalnya.
“Saya segera ke lokasi kejadian dan menghubungi talian kecemasan,” katanya ketika ditemui.
Shamsudin memaklumkan, mangsa sering dilihat membawa ternakan ke kawasan tersebut dan akan kembali pada waktu petang untuk membawa haiwan ternakannya pulang.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Fakarudin Abu Hassan berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tok Bali menerima panggilan kecemasan pada jam 4.18 petang dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
“Pokok jenis gelang yang menghempap mangsa dipotong menggunakan gergaji rantai sebelum dahan berjaya dialihkan dari badan mangsa.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

