Biar Peja jawab, isu hantar surat mengejut tak jejas kempen - Razman

Razman (tengah) ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Pas Tapah pada Sabtu.
Razman (tengah) ketika ditemui Sinar Harian di Kompleks Pas Tapah pada Sabtu.
A
A
A

TAPAH - "Isu Perikatan Nasional (PN) menghantar surat mengejut penukaran tempat duduk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seeloknya dijelaskan sendiri oleh Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu."

Demikian kata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria yang enggan mendahului Ahmad Faizal atau mesra dipanggil Peja dalam memberikan sebarang komen lanjut.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengerusi PN Perak itu, isu berbangkit tidak menjejaskan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning yang berbaki satu minggu lagi.

“Urusan dalaman ini kena tanya Peja. Itu keputusan mereka.

“Tetapi, ia tak beri apa-apa kesan atau beban kepada kempen pilihan raya PN kerana jentera kita dah bergerak lama dah.

“Isu sampingan sahaja, kita dah tetapkan tumpuan kita dan pengundi pun dah cukup matang (untuk memilih),” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas taklimat khas parti di Kompleks Pas, di sini pada Sabtu.

Hadir sama ke taklimat khas berkenaan ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan calon Pas mewakili PN bagi PRK DUN Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PN menghantar surat mengejut ke Pejabat Speaker DUN Perak bagi menukar tempat duduk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu.

Difahamkan, perubahan tersebut dicadangkan di antara ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut disahkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang memaklumkan bahawa surat yang ditandatangani oleh Ahmad Faizal diterimanya pada 16 April ketika Persidangan DUN Perak berlangsung.

Mohammad Zahir memaklumkan, sudah menjadi kebiasaan bahawa kedudukan ADUN di dalam DUN mengambil kira senioriti atau merit tertentu seperti tempoh berkhidmat, pengalaman sebagai Exco kerajaan negeri dan kedudukan dalam parti.

Menurutnya, jika perubahan tersebut dipertimbangkan ia akan berlaku di dalam persidangan DUN Perak tempoh ini yang akan bersambung pada Isnin depan.

Zainol Fadzi yang merupakan Ketua Whip Pembangkang sebelum ini duduk bersebelahan dengan Razman dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin.

Kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu ditentukan berdasarkan kedudukan paling kanan selepas Ketua Pembangkang kerana telah berkhidmat sebagai ADUN selama empat penggal dari 2008 sehingga kini.

Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak terbabit juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal sehingga 2022.

Sementara itu, Nadziruddin yang pertama kali menjadi ADUN selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika ini diletakkan sebaris dengan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri.

Beliau juga dilantik sebagai Setiausaha Bersatu Perak baru-baru ini bagi menggantikan Zainol Fadzi yang meletakkan jawatan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!