Giliran pemain muda bersinar tanpa Zii Jia

Justin (kiri) dan Jun Hao akan menggalas cabaran negara di Piala Sudirman 2025. Foto Agensi
Justin (kiri) dan Jun Hao akan menggalas cabaran negara di Piala Sudirman 2025. Foto Agensi
A
A
A

PENGARAH Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengakui skuad negara bakal berdepan cabaran getir dalam Kejohanan Piala Sudirman 2025 yang akan berlangsung di Xiamen, China, bermula 27 April ini, lebih-lebih lagi tanpa kehadiran pemain utama negara, Lee Zii Jia.

Menurut Jonassen, ketiadaan pemain nombor satu negara itu sememangnya satu kekosongan besar dalam pasukan, namun membuka peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka dalam pentas acara berpasukan tersebut.

"Ya, tentu sekali apabila kita tidak memiliki pemain dalam kedudukan terbaik ranking, ia satu cabaran besar buat pemain lain.

"Namun apabila beraksi dalam acara berpasukan seperti Piala Sudirman, mereka juga perlu tanamkan mindset berpasukan, bukan semata-mata fokus individu," ujar Jonassen ketika ditemui pemberita di ABM, Bukit Kiara, pada Jumaat.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C akan membuka tirai kempen menentang Perancis pada 28 April, sebelum bertemu Australia dan cabaran utama kumpulan, Jepun.

Meskipun Malaysia tampil dengan barisan pemain muda dalam acara perseorangan lelaki – Leong Jun Hao dan Justin Hoh – Jonassen optimis kedua-duanya mampu memberi saingan dengan semangat juang tinggi.

"Dalam acara berpasukan, segala-galanya mengenai momentum. Kalau kita berjaya membuatkan pemain lawan hilang rentak atau tidak selesa, maka kita sudah ada kelebihan di situ, maka teruskannya dengan konsisten," katanya lagi.

Mengenai persiapan dua pemain muda tersebut, Jonassen menegaskan latihan intensif telah dijalankan untuk menyesuaikan mereka dengan tekanan sebenar kejohanan.

"Saya lebih suka latihan yang menguji kemampuan fizikal dan mental mereka. Dalam kejohanan seperti ini, tekanan adalah sebahagian daripada permainan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sudah bersedia dari aspek fizikal dan taktikal, malah kami juga telah mengenal pasti pemain-pemain lawan yang berpotensi akan dihadapi pada peringkat kumpulan," katanya.

Jonassen turut memuji komitmen Jun Hao dan Justin sepanjang sesi latihan, menggambarkan mereka sebagai pemain yang bersemangat tinggi dan tidak gentar menghadapi cabaran besar.

"Secara keseluruhan, sesi latihan mereka berjalan dengan lancar. Kini hanya tinggal masa untuk mereka menterjemahkan segala latihan itu ke dalam aksi sebenar di gelanggang," tambahnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!