Iran sedia luaskan kerjasama menyeluruh dengan Arab Saudi - Presiden

Masoud Pezeshkian - Foto: AFP
Masoud Pezeshkian - Foto: AFP
A
A
A

TEHRAN - Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bertemu Menteri Pertahanan Arab Saudi Putera Khalid bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, yang sedang dalam lawatan ke Tehran, pada Khamis dan menyeru supaya kerjasama antara kedua-dua negara diperluaskan dalam semua bidang, lapor Xinhua.

Pezeshkian berkata Iran bersedia sepenuhnya untuk memperkukuh hubungan dengan Arab Saudi dalam semua sektor dan memperluaskan kerjasama dua hala ke negara Islam lain, menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi pejabatnya.

Beliau turut mengalu-alukan penubuhan kumpulan kerja bersama dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi dan keselamatan, sambil menekankan bahawa Iran dan Arab Saudi boleh bekerjasama menyelesaikan pelbagai masalah di rantau ini tanpa campur tangan pihak luar.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Arab Saudi menyifatkan pertemuannya dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Mohammad Baqeri pada awal hari itu sebagai "amat berguna, positif dan membina.”

Beliau menyatakan Iran dan Arab Saudi merupakan "dua tunjang utama rantau ini” dan hubungan kukuh antara kedua-duanya boleh menjadi contoh efektif bagi perpaduan dan sinergi di dunia Islam.

Iran dan Arab Saudi secara rasmi mengumumkan pemulihan hubungan diplomatik pada April 2023.

Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada awal 2016 susulan serangan ke atas misi diplomatiknya di Iran selepas negara itu melaksanakan hukuman mati terhadap seorang ulama Syiah.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!