Pengaruh filem Hollywood kian pudar di China

BEIJING – Industri filem Hollywood semakin hilang daya tarikan di China apabila filem tempatan menguasai pasaran dan dasar tarif Amerika Syarikat (AS) memburukkan lagi persepsi penonton terhadap karya dari Barat.
Xinhua melaporkan bahawa filem animasi tempatan, Ne Zha 2, mencetuskan fenomena apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak 15.2 bilion yuan (kira-kira RM10 bilion) hanya dalam tempoh 12 minggu tayangan.
Sebaliknya, filem AS paling laris tahun ini, A Minecraft Movie, sekadar mengutip 150 juta yuan (kira-kira RM99 juta) dan gagal menembusi senarai 10 teratas filem paling popular di China.
Kemerosotan ini menggambarkan realiti kejatuhan pengaruh Hollywood dalam pasaran filem kedua terbesar dunia.
Menurut data Maoyan, kutipan filem AS dalam pasaran box office China merosot daripada 36 peratus pada 2018 kepada hanya 14 peratus pada 2024.
Presiden Persatuan Pengkritik Filem China, Rao Shuguang berkata, penonton semakin hilang minat terhadap filem Hollywood kerana jalan cerita yang tidak segar dan kurang nilai empati.
"Secara kreatif, Hollywood semakin konservatif dan terlalu bergantung kepada francais seperti Marvel. Walaupun masih menampilkan visual menarik, penonton kini mengalami keletihan estetika," katanya.
Menurut laporan China Film News, hanya 18.6 peratus daripada keluaran filem AS pada 2024 merupakan karya asli, berbanding 40.9 peratus pada tahun 2000. Baki selebihnya terdiri daripada sekuel, adaptasi, 'reboot' dan 'spin-off'.
Selain isu kualiti, faktor luar seperti dasar cukai Amerika juga menyumbang kepada penurunan pengaruh Hollywood. Dalam konteks perang perdagangan, sektor hiburan turut menerima tempias sentimen negatif masyarakat.
Menurut pengulas media, Ming Jinwei, tindakan AS mengenakan tarif terhadap China boleh menjadi senjata makan tuan kerana industri perfileman adalah antara eksport budaya utama negara itu.
"Cukai AS bukan sahaja membebankan barangan fizikal, malah turut 'mencukai' daya tarikan budaya Amerika di pentas global," ujarnya.
Hari ini, filem dari Jepun, Eropah dan Asia Tenggara semakin mendapat tempat di hati penonton China. Antara yang mencuri tumpuan termasuk filem Itali There's Still Tomorrow, produksi British Prima Facie, serta filem Thailand How to Make Millions Before Grandma Dies.
Pemerhati industri meramalkan pasaran filem China akan terus memperluas kerjasama dengan negara-negara lain termasuk Sepanyol dan negara Asia serantau. Ini sebagai usaha memenuhi cita rasa penonton yang semakin pelbagai.
"Hollywood bukan sekadar menjual filem, tetapi menjual impian. Apabila daya tarikan itu lenyap, pengaruh budaya turut terhakis," kata Ming. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!