Dua maut dalam insiden tembakan di Universiti AS

TALLAHASSEE – Dua individu maut manakala enam lagi cedera selepas seorang penuntut universiti melepaskan tembakan berhampiran Bangunan Kesatuan Pelajar di Florida State University (FSU) pada Khamis.
Suspek, Phoenix Ikner, 20, yang juga merupakan anak kepada seorang timbalan sheriff daerah Leon, kini ditahan polis selepas ditembak oleh pasukan keselamatan dalam kejadian berkenaan. Suspek kini berada di hospital dan dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Leon County, Sherif Walter McNeil, memaklumkan bahawa suspek dipercayai menggunakan senjata milik ibunya merupakan seorang anggota polis yang telah berkhidmat lebih 18 tahun.

“Antara senjata yang ditemui di lokasi ialah pistol dan senapang patah, dan salah satunya dikenal pasti milik ibu suspek,” katanya dalam sidang media.
Menurutnya lagi, Ikner juga merupakan ahli lama Majlis Penasihat Belia Pejabat Sheriff Leon County dan aktif menyertai beberapa program latihan keselamatan.
“Kami tidak terkejut dengan akses suspek kepada senjata,” katanya.
Polis mengesahkan bahawa dua mangsa yang maut bukan penuntut FSU, namun identiti mereka belum didedahkan kepada umum.
Pusat Perubatan Memorial Tallahassee dalam kenyataan memaklumkan telah menerima enam mangsa lain yang kini berada dalam keadaan stabil.
Seorang pelajar tahun dua, Paula Maldonado berkata, beliau berada dalam kelas berhampiran lokasi kejadian ketika mendengar jeritan sebelum amaran ancaman dikeluarkan pihak universiti.
“Semua pelajar menutup lampu, menyekat pintu dengan meja dan bersembunyi. Ada yang menangis, ada yang tenangkan rakan. Seorang pelajar minta saya letakkan beg sandang di depan badan untuk lindungi diri,” katanya kepada ABC News.
Seorang lagi pelajar, Daniella Streety berkata, orang ramai yang berada di luar kampus bertempiaran lari masuk ke bangunan apabila siren amaran dibunyikan dan pihak berkuasa mula mengepung kawasan.
Insiden ini turut mengundang reaksi Fred Guttenberg, bapa kepada mangsa tembakan sekolah Parkland pada 2018, yang menyatakan rasa sedih kerana rakan-rakan anaknya yang kini menuntut di FSU sekali lagi menjadi saksi insiden berdarah.
“Sebahagian mereka berada di Bangunan Kesatuan Pelajar ketika tembakan berlaku,” katanya yang kini menjadi aktivis reformasi senjata api.
Florida State University dalam kenyataan memaklumkan kelas dibatalkan sehingga Jumaat dan keselamatan kampus telah dipastikan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan telah dimaklumkan mengenai insiden itu manakala Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem berkata, “Seluruh negara sedang mendoakan mangsa dan keluarga mereka. Tiada tempat untuk keganasan dalam masyarakat.”
Menurut data Arkib Keganasan Senjata (Gun Violence Archive), insiden ini merupakan kejadian tembakan besar ke-81 di Amerika Syarikat tahun ini, dan yang keenam di negeri Florida sahaja. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!