X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda MCA mahu ada wakil kaum Cina dalam kerajaan Johor

Tian Soon
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda MCA Johor mahu Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad melantik sekurang- kurangnya seorang wakil masyarakat Cina yang akan menjadi penghubung kaum itu dengan kerajaan negeri.

Ketuanya, Ling Tian Soon berkata, pihaknya menyerahkan kebijaksanaan Menteri Besar untuk memberi perhatian perkara itu memandangkan MCA tidak mempunyai sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau yang juga Setiausaha Pengurusan Kebangsaan MCA berkata, tidak dinafikan masyarakat Cina di negeri ini bimbang apabila tiada wakil kaum mereka membarisi Exco kerajaan negeri Johor yang akan dibentuk kelak.

"Barisan Exco kerajaan negeri baharu yang akan dibentuk dalam masa terdekat ini perlu dibarisi pemimpin dari pelbagai kaum sejajar kerjasama Perikatan Nasional.

"MCA tidak ada ADUN di Johor tetapi MCA sebahagian Perikatan Nasional yang dianggotai UMNO, Bersatu dan MIC.

"Terpulang kepada kebijaksanaan MB, sekurang- kurangnya kenalah ada wakil yang akan jadi penghubung antara kerajaan negeri dengan masyarakat Cina," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu Tian Soon mengharapkan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu kenaikan cukai tanah yang dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu.

"Dalam keadaan ekonomi meleset dan kenaikan harga barang yang berlaku kini, kenaikan cukai tanah sangat membebankan. Oleh itu kerajaan negeri baharu perlu buat sesuatu," katanya.

Selain itu beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu memberi fokus isu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan menambah baik sumber ekonomi negeri ini.

Semalam, selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Rumah Rehat VIP di Tanjung Emas, Hasni menjangkakan majlis angkat sumpah barisan Exco kerajaan negeri baharu akan diadakan pada minggu ini.

Hasni dilaporkan berkata, majlis angkat sumpah itu perlu disegerakan bagi membolehkan kerajaan negeri menjalankan tugas pentadbiran dengan berkesan.

Pelantikan barisan Exco baharu negeri Johor terus hangat diperkatakan dengan pembahagian kerusi kepada parti Perikatan Nasional antara UMNO, Bersatu, Pas, MCA dan MIC.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!