Gangguan air di UniMAP berpunca sistem paip dalaman - SPAN

SHAH ALAM – Gangguan bekalan air yang berlaku di Kompleks Perumahan UniCITI Alam (KPUA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bukan berpunca daripada tekanan air rendah oleh operator bekalan, Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan pihaknya mendapati punca utama gangguan adalah disebabkan masalah sistem perpaipan dalaman di premis universiti yang dilaksanakan oleh pemaju.
“Hasil siasatan di lokasi mendapati bahawa tekanan bekalan air selepas meter utama (meter pukal) adalah mencukupi dan melebihi tekanan minimum yang ditetapkan.
“Kawasan di sekitar KPUA menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Timah Tasoh, yang mempunyai dua sumber bekalan air disalurkan melalui paip utama SAP bersaiz 315 mm jenis paip polietilena berketumpatan tinggi (HDPE).
“Hanya sebahagian daripada enam blok terjejas susulan gangguan pada sistem bekalan air dalaman yang sepenuhnya berada di bawah tanggungjawab pemilik premis atau pemaju,” katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan pelajar UniMAP melancarkan mogok selepas ketiadaan bekalan air yang dipercayai berlarutan sejak dua minggu lalu.
Video berdurasi 48 saat yang tular di media sosial memaparkan pelajar-pelajar di blok perempuan KPUA melaungkan “air, air, air” dan “nak balik rumah” secara beramai-ramai.
Susulan itu, SAP telah mengambil langkah proaktif termasuk membuat pintasan sementara yang tidak melalui meter utama bagi membolehkan blok-blok terjejas mendapat bekalan air.
“SAP juga akan menghantar lori tangki dan mengepam bekalan air ke tangki di premis UniMAP yang terjejas,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!