Penduduk jadikan jalan rosak tempat berswafoto
Sebagai satu tanda protes kepada pihak bertanggungjawab

MUARO JAMBI – Penduduk di Desa Bukit Baling, Kecamatan Sekernan di sini bertindak kreatif bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan jalan yang rosak teruk di kawasan mereka dengan cara berswafoto di kawasan jalan berlubang dan digenangi air, sebelum memuat naik gambar-gambar tersebut ke media sosial.
Jalan yang menjadi laluan utama penduduk ke pelbagai destinasi seperti sekolah, penjara dan pejabat kerajaan itu kini dipenuhi lubang dan takungan air sedalam kira-kira 10 sentimeter.
Keadaan berkenaan menjadikan laluan tersebut seolah-olah seperti kolam ikan, menurut penduduk tempatan.
Tindakan protes secara aman itu dilakukan oleh penunggang motosikal dan warga setempat yang saban hari terpaksa melalui jalan terbabit meskipun berdepan risiko kemalangan.
Menurut Saragih, salah seorang pengguna jalan, kerosakan itu telah lama berlarutan hingga menyebabkan banyak insiden tidak diingini berlaku.
“Kami selaku warga Desa Bukit Baling berharap supaya jalan ini diperbaiki. Itu sahaja harapan kami,” katanya.
Penduduk menyeru agar pihak berkuasa tempatan segera mengambil tindakan memperbaiki kerosakan tersebut demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

