Pahang Lead sasar 66 pemimpin muda berbakat

KUANTAN – Kerajaan Pahang menyasarkan seramai 66 daripada 251,279 pelajar sekolah di seluruh negeri dikenal pasti sebagai pemimpin muda berbakat menerusi pelaksanaan Program Pahang Lead tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi memperkukuh program itu melalui pendekatan yang lebih segar dan berfokus demi menjamin keberkesanan pelaksanaannya.
“Insya-ALLAH, tahun ini seramai 251,279 pelajar sekolah akan didedahkan dengan modul Tier satu Pahang Lead yang bertujuan memupuk jati diri dan semangat cintakan negeri.
"Melalui proses saringan sehingga ke Tier empat, kita akan memilih 66 pelajar yang benar-benar menonjol dari segi bakat dan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pahang Lead 2025 di Dewan Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang pada Khamis.

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.
Wan Rosdy memberitahu, inisiatif Pahang Lead sejajar dengan aspirasi kerajaan Pahang untuk melahirkan kepimpinan muda yang mampu menerajui pelbagai bidang di Pahang pada masa hadapan.
“Saya percaya ramai anak muda di negeri ini memiliki potensi besar untuk menjadi pemimpin cemerlang.
"Jika diberi peluang dan diasah dengan betul, mereka boleh menjadi aset yang sangat bernilai untuk Pahang dan negara,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, susulan kejayaan memberangsangkan pelaksanaan Pahang Lead 2024, kerajaan Pahang telah menubuhkan Akademi Pahang First dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.
Ujar beliau, ia dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy memberitahu, peruntukan bagi program Pahang Lead adalah antara inisiatif kerajaan negeri dalam membantu rakyat di Pahang.
Jelasnya, banyak lagi bantuan disediakan kepada rakyat Pahang merentasi tahap umur serta golongan B40 membabitkan peruntukan lebih RM50 juta.
"Menerusi program Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang), kita memberi sumbangan kepada semua daripada bayi yang baru lahir, warga emas dan mereka yang meninggal dunia.
"Jemaah haji dari Pahang turut menerima sumbangan RM750 setiap seorang sebagai wang saku mereka sepanjang menunaikan ibadat itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

