Lebih 2,000 pelajar tercicir di Perak

Khairudin ketika menjawab soalan lisan Hai Yen sempena Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Khairudin ketika menjawab soalan lisan Hai Yen sempena Sidang DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengenal pasti sejumlah 2,047 pelajar tercicir di sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, jumlah itu melibatkan seramai 135 orang murid sekolah rendah dan 1,912 orang pelajar sekolah menengah.

Menurutnya, faktor paling utama keciciran pelajar itu disebabkan dibuang sekolah iaitu sebanyak 38.2 peratus diikuti tidak berminat ke sekolah sebanyak 35 peratus, bekerja (12.1 peratus) dan masalah keluarga (10.1 peratus).

"JPN Perak sentiasa cakna dan mengambil perhatian serius tentang keciciran murid serta sentiasa berusaha dalam mengurangi masalah keciciran yang berlaku di sekolah-sekolah negeri Perak.

"JPN Perak, pejabat pendidikan daerah (PPD), sekolah rendah dan sekolah menengah sentiasa bekerjasama untuk mempergiatkan dan menambah baik empat empat program utama yang memberi impak tinggi iaitu Program Jaulah ABC (Anak yang Baik lagi Cerdik), Program Outreach Murid Cicir, Program Ziarah Cakna dan Platform Kehadiran Murid iaitu Red Flag Risiko Cicir (RFRC)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Koo Hai Yen (PH-Keranji) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Khairudin berkata, Program Jaulah ABC merupakan program kerohanian dan motivasi kepada murid berisiko cicir atau cicir secara berfokus di semua daerah.

Katanya, Program Outreach Murid Cicir pula diadakan bertujuan menyantuni murid cicir bersasar untuk kembali bersekolah sehingga tamat sesi persekolahan.

Artikel Berkaitan:

"Program Outreach Murid Cicir telah dilaksanakan di tiga daerah bersasar iaitu PPD Muallim, PPD Larut, Matang dan Selama dan PPD Hulu Perak yang melibatkan 18 sekolah menengah kebangsaan dan 55 orang murid.

"Impak daripada program ini menghasilkan 78.2 peratus iaitu 43 murid kekal bersekolah dan baki 21.8 peratus telah bekerja, berpindah ke luar negeri atau berkahwin," jelasny.

Sementara itu, Khairudin berkata, Program Ziarah Cakna merupakan program menziarahi keluarga murid yang sering tidak hadir ke sekolah dengan memberi bantuan agar murid dapat bersekolah dengan selesa dan aman.

Jelasnya, program tersebut dilaksanakan oleh semua sekolah sebagai salah satu intervensi serta ditambah baik dengan melibatkan agensi luar seperti Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!