Insiden letupan di stesen minyak: Tiada unsur sabotaj, elemen jenayah

SEPANG - Polis mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj atau elemen jenayah yang dikesan dalam insiden letupan kecil membabitkan sebuah kereta di stesen minyak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at dalam kenyataan pada Rabu mengesahkan insiden itu berlaku sejurus konvoi Presiden China, Xi Jinping melintasi kawasan berkenaan kira-kira jam 7 malam.
"Hasil pemeriksaan lanjut oleh polis mendapati letupan berlaku di bahagian bateri, dipercayai berpunca daripada kerosakan teknikal.
"Berdasarkan pemeriksaan terperinci dan soal siasat terhadap pemandu kenderaan berkenaan, tiada sebarang unsur sabotaj atau elemen jenayah yang dikesan,” katanya.
Beliau berkata, insiden berkenaan tidak membabitkan sebarang kecederaan terhadap orang awam atau kerosakan kepada harta benda di stesen minyak itu.
"Satu laporan polis dibuat berhubung insiden itu,” katanya
Azman menasihatkan orang ramai agar tidak panik atau mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tersebar melalui media sosial, sebaliknya memastikan maklumat diperoleh daripada saluran rasmi yang sahih.
"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan sebarang berita palsu berkaitan insiden ini, kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan kegusaran, kerisauan serta menggugat ketenteraman awam.
"PDRM sentiasa memantau dan memastikan keselamatan awam dan memberi perhatian khusus terutamanya semasa lawatan negara Presiden China ke Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
