Visual iklan cetus reaksi negatif pengguna telah dikeluarkan - Prasarana

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad mengambil langkah segera dengan memperketatkan proses semakan visual iklan di aset kendaliannya susulan maklum balas orang ramai terhadap paparan iklan pada salah sebuah tren Rapid KL.
Iklan berkenaan yang mempromosikan produk penjagaan diri memaparkan pelbagai situasi harian melibatkan pengguna pengangkutan awam daripada pelbagai latar belakang.
Meskipun tujuan utama adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan diri, kandungan tersebut dikatakan menimbulkan reaksi sensitif dalam kalangan segelintir masyarakat.
Menurut kenyataan Prasarana, iklan tersebut telah melalui proses penilaian dalaman dan luaran yang merangkumi semakan aspek sensitiviti kaum, agama dan sosial sebelum dipaparkan.
“Visual iklan ini telah dikeluarkan daripada perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling setelah menerima maklum balas daripada orang ramai,” kata Prasarana dalam kenyataan itu pada Rabu.
Sebagai langkah bertanggungjawab, Prasarana turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai atas keprihatinan mereka, dan berjanji akan memperketatkan lagi kawalan terhadap kandungan komunikasi serta bahan pengiklanan pada masa hadapan.
“Kami berterima kasih atas keprihatinan dan kerjasama berterusan daripada orang ramai terhadap penggunaan pengangkutan awam,” tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

