Pas akui tidak nafikan kebaikan Dr Mahathir

Dr Mahathir. -Foto Bernama
Dr Mahathir. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengakui bahawa kebaikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh dinafikan sepanjang beliau menerajui pentadbiran negara selama ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Mohd Nor Hamzah berkata, bahkan jasa Dr Mahathir mentadbir negara selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri keempat dan ketujuh dipuji oleh parti tersebut walaupun terdapat beberapa perbezaan ideologi politik antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, kebaikan Dr Mahathir tidak boleh dinafikan kerana negarawan itu merupakan pemimpin yang menitik beratkan kepentingan Melayu dan Islam, antaranya apabila beliau tidak bersetuju terhadap cadangan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tidak melarang himpunan mega bantahan ICERD selain mengadakan Kongres Maruah Melayu.

"Jasa Tun Mahathir turut diiktiraf oleh negara Arab dan negara Islam yang lain apabila secara lantang bersuara dalam isu kemanusiaan seperti krisis Bosnia Herzegovina serta ketegasannya tidak mengiktiraf Yahudi atas pencabulan mereka terhadap bumi Palestin.

"DR Mahathir secara rasmi pernah dijemput oleh kerajaan Mesir semasa pemerintahan Dr Muhammad Morsi bagi memberikan ucapan untuk berkongsi idea mengenai pelan peningkatan ekonomi.

"Sekali pun beliau ada silapnya namun kebaikan yang ada tidak boleh kita sembunyikan dan nafikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nor berkata, Dr Mahathir dilihat berusaha memperbaiki kesilapan lalu dalam pemberian royalti dan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu dan usaha itu wajar diberikan pujian.

"DUPP juga secara tegas menasihati Dr Mahathir untuk mengambil sikap tidak wajar berkompromi dengan DAP yang jelas membawa ideologi ektremis.

Artikel Berkaitan:

"DUPP berbesar hati mempelawa Dr Mahathir untuk memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan anak didik beliau," katanya.