Ada pihak cuba lagakan saya dengan Saarani, kata Zambry

Ciapan Zambry menerusi akaun Twitter berkaitan cubaan pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan beliau dengan Saarani.
Ciapan Zambry menerusi akaun Twitter berkaitan cubaan pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan beliau dengan Saarani.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meluahkan rasa kurang senang terhadap cubaan pihak tertentu yang mahu melaga-lagakannya dengan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Menurutnya, tindakan sebuah portal mendakwa dirinya dan Saarani sedang berebut jawatan Menteri Besar Perak sebagai fitnah jahat.

Beliau berkata, tidak timbul isu perebutan jawatan Menteri Besar Perak kerana mereka berdua berada dalam satu pasukan sama.

"Memang jahat. Tak habis-habis peracun dan pemfitnah cuba melaga-lagakan saya dengan Datuk Saarani. Mereka sebenarnya geram tengok kami bergerak dalam satu pasukan yang kukuh dan bersama.

"Tak usahlah lagakan kami seolah-olah gila kuasa dan jawatan. Kadang-kadang kesian tengok hidup pemfitnah ini, jiwanya sakit dan derita," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal yang mendedahkan kononnya berlaku perebutan jawatan di antara Zambry dan Saarani bagi kerusi Menteri Besar Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Muafakat Nasional calon Saarani jadi MB Perak

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor dalam pada itu turut menjelaskan perkara sama menerusi ciapannya di Twitter semalam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saarani dalam kenyataan ringkas kepada Sinar Harian berkata, tuduhan berlakunya perebutan jawatan tersebut tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, hubungan dengan Zambry sentiasa akrab dan mereka selalu berbincang untuk mengukuhkan pasukan.

"Janganlah percaya cerita-cerita karut begini. Hubungan kami sentiasa akrab. Selalu bincang bersama untuk kukuhkan pasukan.

"Abaikanlah anasir negatif begini," katanya menerusi pesanan WhatsApp hari ini.

Sementara itu, sumber dalaman UMNO mengesahkan Zambry salah seorang ADUN Perak yang menandatangani akuan bersumpah mencalonkan Saarani sebagai Menteri Besar.

Saarani disebut-sebut bakal Menteri Besar Perak yang baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan ADUN Muafakat Nasional sebulat suara menamakan Saarani sebagai Menteri Besar Perak yang baharu jika berlaku pembentukan kerajaan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini.