Mayat bayi dibuang dalam kotak di tepi gerai

Mayat bayi itu ditemui kira-kira jam 2 petang Selasa dan disahkan telah meninggal dunia ketika dijumpai. Foto hiasan
Mayat bayi itu ditemui kira-kira jam 2 petang Selasa dan disahkan telah meninggal dunia ketika dijumpai. Foto hiasan
A
A
A

LAHAD DATU - Polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi lelaki cukup sifat yang dipercayai dibuang di sebuah gerai tidak bernombor di Batu 13, Jalan Jeroco, di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail dalam kenyataan memaklumkan, mayat bayi itu ditemui kira-kira jam 2 petang Selasa dan disahkan telah meninggal dunia ketika dijumpai.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara sulit.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!