Tiada arahan jauhi kawasan Pantai, Bangsar: Noor Hisham


DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan Pantai dan Bangsar di sini dalam tempoh 10 hari akan datang kerana jangkitan koronavirus (Covid-19) seperti yang tular menerusi media sosial.

Beliau berkata, laporan Bernama yang menyatakan bahawa seolah-olah Dr Noor Hisham yang mengeluarkan nasihat sedemikian adalah tidak tepat.

Perenggan tidak tepat dalam berita berkenaan telah dimasukkan dalam laporan berita yang memetik kenyataan Dr Noor Hisham memuji tindakan segera pakar perunding kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur Datuk Dr Sanjiv Joshi, yang secara sukarela menjarakkan dirinya dari hospital, klinik dan keluarganya selama 14 hari.

Dr Sanjiv diuji negatif bagi Covid-19, namun beliau terus kuarantin dirinya semasa tempoh inkubasi kerana ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

"Dr Sanjiv merawat kes 29 (wanita berusia 35 tahun yang berkongsi bilik dengan kes 24) yang kemudiannya diuji positif Covid-19. Dr Sanjiv kemudian sukarela menjarakkan dirinya bagi tempoh 14 hari (daripada orang awam), saya berharap semua kontak rapat beliau akan mencontohi tindakan beliau untuk melakukan apa yang betul,” kata Dr Noor Hisham menerusi catatan Facebook rasminya malam tadi.

Petikan berita tidak tepat itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar dan mereka yang ingin berkunjung ke hospital berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Malam tadi, Bernama telah membuat pembetulan terhadap berita berkenaan serta mengeluarkan notis terhadap kesilapan itu namun laporan itu telahpun disiarkan lebih awal oleh beberapa organisasi media.

Setelah Bernama menghubungi editor-editor berkenaan, berita itu telah dikeluarkan daripada portal mereka.

Artikel Berkaitan:

Bernama kesal dengan penyiaran laporan yang tidak tepat itu. - Bernama