JPNJ tidak mahu kes pelajar sunting gambar lucah guna AI berulang

JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan terus memantau secara dekat isu pelajar menyebarkan gambar suntingan berunsur lucah melibatkan pelajar perempuan lain di semua sekolah di negeri ini.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan jenayah serius yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, JPNJ akan memastikan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak disalahgunakan oleh pelajar bagi tujuan negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
"Ini adalah sisi gelap AI yang menjadi kerisauan kita. Kita tak mahu pelajar menyalahgunakan teknologi ini.
"Justeru, JPNJ menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah akan memantau isu ini secara dekat bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri Kelab Media Johor di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir di sini malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.
Sementara itu, Aznan turut meminta ibu bapa memainkan peranan penting dengan memantau penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak mereka di luar waktu persekolahan.
"Kita hanya dapat pantau pelajar di sekolah sahaja. Oleh itu, ibu bapa juga perlu bersama-sama bertanggungjawab memantau anak-anak ketika menggunakan telefon pintar agar tidak terjebak dengan perkara negatif,” ujarnya.
Sebelum ini, sekolah menengah persendirian di Kulai menjadi perhatian apabila dikecam orang ramai susulan tindakan pelajarnya menyebarkan gambar suntingan berunsur lucah melibatkan pelajar lain dan bekas pelajar sekolah tersebut.
Susulan itu, lembaga pengarah sekolah berkenaan memaklumkan bahawa pelajar yang menjadi dalang utama kejadian tersebut telah dibuang sekolah, menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa hanya teguran ringan diberikan.
Bagaimanapun, pihak sekolah mengakui kelewatan dalam mengambil tindakan pantas sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
"Kami telah mengarahkan pihak sekolah untuk menjadikan perkara ini sebagai satu pengajaran penting,” ujarnya.
Pada masa sama, Polis Johor memaklumkan pihaknya menerima 29 laporan polis berhubung insiden pelajar menyunting dan menyebarkan gambar berunsur lucah di media sosial.
Katanya, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai menjadi dalang utama, kini direman dan tempoh remannya dijangka berakhir esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!