Guan Eng syorkan syarikat bina terowong dasar laut - Saksi

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengesyorkan syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) membina terowong dasar laut di negeri itu.
Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata demikian ketika prosiding terhadap Guan Eng, 65, yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima suapan.
Kes ini termasuk dua lagi pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu bernilai RM6.3 billion.
Zarul, 66, berkata, pemimpin DAP itu membuat syor berkenaan kerana projek terbabit tidak melibatkan banyak kelulusan daripada kerajaan pusat.
Ketika pemeriksaaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi pendakwaan ke-23 berkata, memandangkan kedudukan Pulau Pinang ketika itu beliau mengesyorkan supaya kita buat terowong berbanding jambatan.
“Dalam minit mesyuarat menyatakan, semua projek mega yang dirancang untuk dibangunkan perlu dimuatkan dalam satu dokumen permintaan untuk cadangan (RFP).
“Ini kerana, setiap satu projek tersebut adalah berkaitan antara satu sama lain, maka Syarikat Beijing Urban Contruction Group Sdn Bhd tidak perlu menyediakan deraf dokumen RFP secara berasingan bagi setiap projek.
“Kebiasaannya satu projek ada satu RFP dan dalam kes ini terdapat empat projek dan sepatutnya ada empat RFP,” katanya.
Susulan itu beliau bersetuju apabila dicadangkan bahawa, perkara itu memberi kelebihan kepada syarikatnya dalam penyediaan RFP yang dibantu oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.
Ia bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

