Polis tahan dua suspek bakar rumah

Noor Hisam Nordin
Noor Hisam Nordin
A
A
A

IPOH – Dua lelaki termasuk seorang warga Taiwan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes khianat dengan api di Ipoh pada 4 April lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 37 tahun dan 26 tahun itu dilakukan pada 12 April lalu hasil risikan dan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah hospital swasta di Ipoh dan kawasan perumahan di Chemor selepas dipercayai terlibat dalam kes membaling bom petrol (molotov cocktail) ke arah sebuah rumah di Ipoh.

“Kejadian berlaku pada 4 April lalu melibatkan mangsa seorang wanita warga emas berusia 62 tahun. Rumahnya terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat menggunakan bom petrol yang dibaling oleh individu tidak dikenali.

“Susulan siasatan, kita telah merampas beberapa barang seperti sebuah kereta Proton Iswara, dua buah beg silang, tiga telefon bimbit, kad Touch n Go, dua helai kertas nota ugutan serta barangan dipercayai digunakan dalam jenayah seperti sarung tangan, petrol dan buku nota,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Noor Hisam, siasatan mendapati kedua-dua suspek mula berkenalan melalui laman sosial sejak Ogos 2024 sebelum terlibat dalam kes khianat bermula Mac lalu.

“Modus operandi mereka dipercayai menerima arahan daripada seorang ejen sindiket dari negara jiran dan setiap kali melakukan jenayah, suspek akan dibayar sebanyak 300 dolar Singapura.

“Kejayaan tangkapan ini turut menyelesaikan lapan kes khianat dengan api di sekitar Perak,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari bermula 13 hingga 15 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pinjaman daripada pemberi wang tanpa lesen atau mana-mana pihak tidak dikenali melalui media sosial.

Pada 9 April lalu, media melaporkan polis sedang mengesan individu terlibat membaling bom petrol ke sebuah rumah di Kampung Rapat di sini yang tular di media sosial pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima lima laporan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 62 tahun berkaitan kejadian itu, dibuat antara 26 Mac hingga Jumaat lepas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!