Covid-19: Thailand tangguh Kejohanan MotoGP

Kejohanan MotoGP Thailand di litar Chang International Circuit, Buriram ditangguhkan susulan penularan jangkitan Covid-19. - Foto 123RF
Kejohanan MotoGP Thailand di litar Chang International Circuit, Buriram ditangguhkan susulan penularan jangkitan Covid-19. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Kejohanan MotoGP Thailand bulan depan ditangguhkan susulan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19), kata Timbalan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam berkata, penangguhan acara perlumbaan di litar Chang International Circuit, Buriram, di timur laut Thailand pada 20 hingga 22 Mac itu perlu dilaksanakan selepas Covid-19 diisytiharkan sebagai penyakit berjangkit yang berbahaya di negara itu.

“Ini adalah gambaran keseriusan kerajaan dalam menangani isu jangkitan Covid-19.

"Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha telah dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan jawatankuasa penganjur MotoGP di pejabat pentadbiran kerajaan 'Government House' di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Qatar membatalkan penganjuran perlumbaan pembukaan musim yang dijadualkan pada 8 Mac.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: MotoGP Qatar 2020 batal

Thailand hari ini melaporkan satu lagi kes baharu Covid-19, yang menjadikan kes positif Covid-19 di negara itu kini berjumlah 43 orang, dengan pesakit terbaharu adalah seorang wanita Thailand berumur 22 tahun.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, Dr Suwanchai Wattanayingcharoenchia berkata, Thailand kekal di fasa kedua penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Penyebaran jangkitan tempatan Covid-19 di Thailand ketika ini kekal terhad,” katanya.

Daripada 43 kes yang disahkan, 32 pesakit telah dibenarkan keluar wad manakala 11 lagi masih sedang menjalani rawatan.

Thailand melaporkan kematian pertama akibat Covid-19 pada hari Sabtu lepas. - Bernama