Bongkar seleweng minyak sawit, diesel

Lori dan tangki yang mengandungi minyak sawit turut dirampas
Lori dan tangki yang mengandungi minyak sawit turut dirampas
A
A
A

SEREMBAN - Empat lelaki disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan minyak sawit diberkas dalam Operasi Khas Bersepadu (Op Palma) di Taman Desa Rasah di sini pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya turut merampas lima buah lori bersama muatan minyak sawit dan diesel yang dianggarkan bernilai RM207,470.

"Operasi tersebut dilakukan hasil risikan dan pemantauan rapi selama beberapa hari yang membawa kepada serbuan di beberapa lokasi bermula jam 8 pagi.

"Operasi itu hasil kerjasama Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (LMSM)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Yusri berkata, serbuan pertama, pihaknya mengesan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memindahkan minyak sawit antara dua lori di kawasan lapang.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui lima tangki mengandungi anggaran 4,000 kilogram minyak sawit mentah,” katanya.

"Pasukan serbuan kemudian membuat pemeriksaan terhadap sebuah lori yang dipandu seorang lelaki.

"Kita telah menjumpai enam buah tangki yang mengandungi minyak sawit anggaran berjumlah 5,000 kilogram bersama satu unit pam bermotor beserta hos dan satu unit alat penimbang," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut membawa kepada penemuan beberapa lagi lori bersama muatan tangki minyak sawit di sekitar kawasan berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut menemui sebuah lori mengandungi enam buah tangki berisi anggaran 5,400 liter minyak diesel dipercayai diseludup," katanya.

Mohd Yusri berkata, kesemua empat suspek warga tempatan berusia 31 hingga 62 tahun itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Kaedah 5 Peraturan-Peraturan LMSM (Pelesenan) 2005 serta Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!