Harga emas melonjak, pelabur cari perlindungan ketidaktentuan global

Harga emas di Malaysia dilaporkan melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah, mencecah sekitar RM500 segram pada Sabtu.
Harga tersebut melepasi rekod terdahulu yang dicatat pada 15 Mac lalu, iaitu RM463 segram.
Perkembangan itu didorong oleh pelbagai faktor global termasuk ketegangan geopolitik, dasar monetari longgar serta tekanan terhadap pasaran saham dunia.
Secara tidak langsung, trend ini memperlihatkan pelabur beralih kepada emas sebagai aset selamat berikutan ketidaktentuan pasaran.
Pada masa sama, konflik berterusan di Asia Barat dan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan antara kuasa besar turut menambahkan kebimbangan pasaran global.
Dasar tarif yang tidak menentu dan hubungan dagangan yang tegang mendorong pelabur menstruktur semula portfolio pelaburan, dengan tumpuan kepada aset yang lebih stabil seperti emas.
Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, emas sekali lagi membuktikan fungsinya sebagai pelindung nilai.
Kenaikannya ke paras RM500 segram menjadi isyarat jelas bahawa pelabur semakin berhati-hati dalam menghadapi ketidaktentuan global yang semakin ketara.
Justeru, terbukti emas mampu menjadi aset simpanan yang selamat dan berbaloi dimiliki dalam mendepani ketidaktentuan masa hadapan.
Orang ramai mungkin boleh mengambil peluang ini untuk membeli emas, memandangkan harganya dijangka terus meningkat dan kekal sebagai aset bernilai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
