UMNO Kedah tuntut janji dua tahun lalu

SUNGAI PETANI - UMNO Kedah menuntut Kerajaan Perpaduan menunaikan janji melantik wakil parti itu sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah, seperti yang dijanjikan dua tahun lalu.
Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, jawatan itu penting bagi memastikan penyelarasan pembangunan yang lebih baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, selain membolehkan UMNO memainkan peranan secara langsung dalam perancangan pembangunan negeri.
“Jawatan itu bukan kami minta, tetapi ia dijanjikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. UMNO tidak kisah siapa yang dilantik, asalkan jawatan itu disandang wakil UMNO kerana kita adalah rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Merbok, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, kegagalan menunaikan janji tersebut boleh menjejaskan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, terutama menjelang pilihan raya akan datang.
“UMNO perlu tahu strategi dan perancangan kerajaan bagi memastikan kekuatan jentera dan penyelarasan kerja di peringkat akar umbi. Soal keikhlasan dalam kerjasama ini penting.
“UMNO sedia beri komitmen penuh kepada agenda Kerajaan Perpaduan, tetapi janji mesti ditunaikan. Kalau janji sejak dua tahun lalu pun belum ditunaikan, bagaimana kita mahu bergerak bersama?” soalnya.
Tambah beliau, perkara itu perlu diselesaikan segera sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mahu mencabar kedudukan dan populariti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada pilihan raya akan datang.
“Kalau nak lihat PH-BN mencabar ketuanan dan pengaruh Sanusi, kita perlu selesai isu ini terlebih dahulu,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
